Al-Quran merupakan kitab suci yang mengandungi nilai mukjizat yang tinggi. Hal ini boleh dilihat dari aspek akidah dan syariah, akhlak dan moral, bahasa, persejarahan, pemikiran dan keintelektualan, ketamadunan, rahsia alam dan semesta dan sebagainya yang lengkap dan sesuai sepanjang zaman. Al-Quran membekalkan pengetahuan asas tentang manusia, peringkat-peringkat kehidupan manusia dan sebagainya. Al-Quran juga menekankan hubungan baik sesama manusia dengan menghormati antara satu sama lain. Al-Quran menjadi sumber rujukan penting dan pedoman  untuk sekalian umat islam.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah institusi pendidikan yang berteraskan Islam sebagai panduan, maka Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) telah memilih Al-Quran sebagai lambang kebesarannya. Sesuai dengan peranan KPYPJ yang ingin melahirkan tenaga mahir dan separa mahir dalam pelbagai disiplin ilmu yang mencakupi bidang sains dan teknologi, pengurusan sumber manusia, perbankan Islam, teknologi maklumat, perakaunan dan perniagaan serta bidang hospitaliti. Bidang lain yang ditawarkan ialah seni bina, kejuruteraan dan lain-lain bidang kemahiran seperti automotif, fesyen dan pendingin hawa. Adalah menjadi hasrat KPYPJ melahirkan tenaga kerja yang mematuhi syariat Islam. Hal ini demikian kerana  KPYPJ terpanggil untuk menyediakan tenaga kerja yang bukan sahaja mematuhi syariat tetapi juga kompeten dan berintegriti apabila memasuki pasaran pekerjaan.  Menjadi tanggungjawab KPYPJ menyediakan program-program patuh syariah dan pendidikan yang sesuai untuk orang Islam khasnya dan kaum-kaum lain amnya.

Adalah menjadi harapan KPYPJ untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berpengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai pemikiran kelas pertama yang bersandarkan kepada al-Quran sebagai sumber wahyu daripada Allah SWT. Al-Quran berfungsi sebagai petunjuk kepada sekalian umat manusia agar dapat  mengelakkan diri umatnya daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Sebagai sebuah institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri Johor Darul Ta’zim, KPYPJ menawarkan program-program yang sesuai untuk rakyat negeri Johor khasnya dan Malaysia amnya. Al-Quran dijadikan sebagai panduan dalam aspek pengurusan, kebajikan pelajar, kecemerlangan akademik, etika kerja dan pelbagai prosedur yang berteraskan hukum Islam. Tujuan akhir adalah untuk melahirkan insan yang seimbang jasmani dan rohaninya dan mampu bersaing dalam era globalisasi tetapi pada masa yang sama berpaksikan kepada al-Quran sebagai panduan dan pedoman.

Al-Quran sebagai lambang panduan KPYPJ